Padzilah Enda Sulaiman komersialkan telekung ibadah

TELEKUNG dianggap sebagai persalinan yang wajib ada bagi seorang Muslimah. Sebagai pakaian yang disarung saat sujud pada Yang Maha Esa, setiap helaian telekung punya magis yang tersendiri.

Kualiti telekung bukan hanya dilihat pada sudut luaran juga namun aspek keselesaan turut memainkan peranan terhadap pemilihan jenis-jenis telekung.

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa telekung yang selesa dipakai ketika mendirikan solat menjadikan rukun Islam kedua itu dapat dilaksanakan dengan khusyuk dan tawaduk. Pendek kata, pemilihan telekung yang tepat menjadikan seorang Muslimah itu lebih yakin tatkala menunaikan kewajipan yang satu ini.

Kebiasaan wanita kurang menitikberatkan fabrik telekung tetapi demi kelainan dan keselesaan ketika bersolat, pemilihan telekung dengan material yang selesa mampu menjadikan wanita lebih fokus dengan amal ibadat.

Tanpa mengabaikan soal tuntutan syariat, telekung yang sempurna, tentulah telekung yang memenuhi kriteria tersebut.

Itu antara sebab utama tertubuhnya jenama Telekung Siti Khadijah yang mahukan Muslimah tampil mengikut syariat dan selesa ketika beribadat.

Empunya syarikat Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SKA), Padzilah Enda Sulaiman kini boleh tersenyum melihat usahanya menjadikan persalinan solat ini lebih praktikal dan patuh syariat kini terlaksana.

Jejak Bisnes

Padzilah, seorang usahawan yang berpengalaman dalam dunia jahitan sejak 2008 ini tidak pernah bermimpi untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan secara serius apatah lagi dalam perniagaan yang berpaksikan jahitan. Langkah bisnes Padzilah bermula sebaik sahaja memperkenalkan sehelai telekung ibadah yang selesa untuk dipakai.

“Kesukaran mendapatkan telekung yang sesuai untuk kegunaan sendiri mendorong saya untuk menghasilkan telekung sendiri. Tidak cukup dengan itu, rakan-rakan rapat juga turut mengadu nasib yang sama apabila masing-masing mempunyai masalah dalam mencari telekung yang bersesuaian dengan bentuk wajah. Soal kekemasan telekung menjadi agenda utama masalah yang dihadapi.

“Masalah sukar mendapatkan telekung yang benar-benar sesuai dengan bentuk wajah bukanlah sesuatu yang baharu untuk diri saya. Bayangkan, setiap kali mahu menunaikan umrah dan haji serta solat sunat tarawih, saya terpaksa mengubah telekung yang dibeli.

Ia tidak selesa, talinya mudah tertarik, ketat dan bertanda di dahi menimbulkan masalah kepada saya,” jelas Padzilah membuka bicara.

Menggunakan kelebihan dalam bidang jahitan untuk mencuba sesuatu untuk dirinya terlebih dahulu, wanita ini juga turut mendapat dorongan rakan-rakan supaya menjahit sendiri telekung. Berbekalkan ilmu jahitan yang ada pada dirinya, Padzilah mengorak langkah memulakan proses menjahit telekung.

“Saya tidak mempunyai ilmu dalam bidang perniagaan namun saya yakin untuk memasarkan telekung hasil ‘air tangan’ saya kerana telekung adalah satu keperluan Muslimah untuk menunaikan solat dan melakukan ibadat Haji mahupun umrah.

Alhamdulillah sehingga hujung 2017, label Siti Khadijah sudah mempunyai 29 buah butik. Di Indonesia, kami sudah ada empat buah butik. “Siti Khadijah juga sudah mendapat pensijilan kualiti ISO 9001 dari SIRIM QAS. Kami juga sudah berpindah ke kilang baharu dan ada gudang yang lebih besar selain memantapkn SOP dan sistem pengilangan. Sempena azam 2018 ini, saya bercita-cita untuk mengembangkan pasaran di Indonesia dan seterusnya menembusi ke United Kingdom dan Timur Tengah,” ungkap Padzilah.

Menjadikan srikandi hebat, Saidatina Khadijah sebagai idola, Padzilah pernah melalui waktu-waktu sukar. Tindakannya menyuntik nafas baharu pada telekung ketika mula berjinak-jinak dalam dunia bisnes ini tidak mendapat sambutan yang baik daripada kaum wanita.

“Ketika itu saya belajar betapa sukarnya untuk memasarkan telekung dan saya akui tidak mempunyai ilmu dalam selok-belok perniagaan. Semasa saya mengambil keputusan menjahit 200 helai telekung, saya tidak merancang siapakah sasaran pembeli tetapi terdetik telekung ini amat sesuai untuk jemaah haji dan umrah.

“Tanpa rasa segan, saya berkunjung ke beberapa buah agensi pelancongan di sekitar Kuala Lumpur dan Terengganu yang menyediakan pakej umrah dan haji.

Malangnya mereka tidak menerima telekung tersebut. Saya terpaksa membawa pulang kesemua 200 helai telekung itu.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi kesemua telekung yang dihasilkan mampu dijual dan menepati keperluan wanita untuk bersolat. Tetapi nampaknya inovasi tersebut belum dapat diterima baik di pasaran.

Bayangkan hanya beberapa helai sahaja berjaya dijual kepada saudara-mara dan rakan-rakan terdekat sahaja. Sudah tentu terbit rasa kecewa dan hampir berputus asa dengan apa yang berlaku.

Situasi itu juga hampir membunuh semangat saya untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan,” ujar Padzilah.

Strategi Bisnes

Padzilah beruntung kerana mendapat sokongan suami, anak-anak dan keluarga mentua. Menolak erti putus asa dan mula merancang strategi untuk memastikan telekungnya mendapat sambutan, hasilnya, telekung Padzilah berjaya dijual selepas melalui saat-saat getir untuk mempromosikan produknya itu.

“Saya mula membuat penyelidikan dan kajian mengenai jahitan dan kemasan yang sesuai untuk menghasilkan sehelai telekung. Paling utama, jahitannya diterima pelanggan demi memberi keselesaan kepada Muslimah. Saya mahu sama-sama menempah saham akhirat melalui setiap helaian telekung yang dikenakan oleh Muslimah ketika menunaikan solat, melakukan ibadat umrah mahupun haji.

“Tidak dinafi kan semakin ramai yang tidak berkira daripada segi wang ringgit demi mendapatkan keselesaan apatah lagi jika ia berkaitan amal ibadah. Pada pandangan saya, jika seseorang wanita sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk sepasang baju, mengapa tidak perkara sama dilakukan untuk sepasang telekung yang bukan sahaja nampak cantik buatannya tetapi lebih penting selesa dan terpelihara aurat mengikut syariat ketika bersolat,”ujar wanita kelahiran Sungkai, Perak ini.

Persaingan dalam dunia perniagaan umpama rakan karib yang tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun Padzilah tidak menjadikan persaingan satu perkara besar dalam kamus hidupnya.

“Dengan adanya saingan, saya tidak terlena dalam zon selesa. Ia menjadikan saya lebih peka dan berusaha dengan lebih gigih lagi. Antara cabaran utama dalam menguruskan perniagaan ialah dari segi menjaga kualiti produk. Susah untuk mendapatkan standard kualiti yang diperlukan. Namun saya berjanji untuk memberikan hanya yang terbaik kepada pelanggan.

“Menyentuh tentang rangka strategi pemasaran pula, kami sudah mula meneroka dunia pemasaran digital. Kami tidak lagi menjual secara ‘hard sell.’ Memang saya akui bahawa keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan sedikit sebanyak menggugat bisnes namun putaran ekonomi memang begitu.

Saya yakin dengan izin ALLAH jika kita mempunyai ‘value’ yang dimahukan oleh pelanggan, dalam keadaan ekonomi apa sekalipun kita boleh bertahan,” kata Padzilah.

Resepi kejayaan

Tatkala ditanya tentang pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang berkecimpung dalam dunia bisnes, ujar Padzilah tentulah saat-saat diawal kemunculan label Siti Khadijah.

“Pada awal perniagaan sudah tentulah keperitan untuk menjual produk premium, tambahan pula produk baharu yang memang belum dikenali. Syukur berkat kerja kuat, gigih dengan kerja yang kita lakukan selain minta restu daripada insan yang selayaknya maka kejayaan akhirnya berada dalam genggaman. Kini empat daripada enam anak saya bersama membantu dalam perniagaan.

“Kekuatan dan signature telekung Siti Khadijah memainkan peranan kejayaan label Siti Khadijah terus mendapat sambutan. Telekung label Siti Khadijah ‘menang’ daripada segi keselesaan dan juga berkualiti tinggi.

Pendek kata telekung label Siti Khadijah bukan sekadar jenama semata-mata tetapi memenuhi keperluan apa yang diinginkan oleh kaum Muslimah,”ungkap Padzilah.

Sebelum menutup kalam, Padzilah sempat ditanya tentang topik luar daripada perspektif perniagaan.

Rupa-rupanya wanita berusia 52 tahun ini suka melancong ke tempat alam semula jadi. Padzilah gemar meneroka sesuatu yang baharu.

“Untuk mengekalkan stamina pula, saya mengamalkan cara pemakanan yang sihat. Saya amat cerewet memilih makanan. Makanan segera, makanan yang mengandungi perisa tambahan dan pewarna tiruan memang saya elakkan. Ia bagi memastikan tubuh kekal aktif setiap hari,” akhiri Padzilah.

 

*Credit to Sinar Harian

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply