Ketahui 8 Jenis Rezeki Dari Allah

Seringkali kita sangka bahawa segala rezeki yang kita kecapi hari ini adalah hasil usaha dan titik peluh kita sendiri. Benar. Namun janganlah kita lupa bahawa Allah yang mengizinkan segala usaha kita itu. Dalam erti kata lain, Allah Yang Maha Berkuasa memberi segala jenis rezeki kepada kita. Untuk entri kali ini, admin ingin berkongsi 8 jenis rezeki dari Allah yang mungkin dapat kita hayati bersama.

Rezeki Allah itu luas~

#1 Rezeki yang telah dijamin

Dikala kita jatuh dan tak mampu untuk bangun, jangan sesekali menyalahkan takdir atas kesulitan yang kita hadapi. Percayalah, ada rezeki yang terjamin buat kita yang sudah ditentukan Allah. Apa yang penting jangan kita sesekali kufur nikmat dan sentiasa mengingatiNya.

Allah berfirman Surah Hud, ayat 6 yang bermaksud:

“Tidak ada satu makhluk melata pun yang bergerak di atas bumi ini yang tidak dijamin Allah rezekinya.”

#2 Rezeki kerana usaha

Ada orang kata, rezeki tidak datang bergolek jika tidak dipenuhi dengan usaha dan kesungguhan. Tepat sekali. Sudah Allah janjikan, siapa yang berusaha untuk mencari rezeki dengan niat dan cara yang baik, nescaya Allah berikan kepada mereka rezeki.

Allah berfirman Surah An-Najm, ayat 39 yang bermaksud:

“Tidaklah manusia mendapatkan apa-apa kecuali apa yang dikerjakannya.”

#3 Rezeki kerana bersyukur

Setiap manusia diberikan rezeki yang beza-beza oleh Allah. Namun apa yang pasti, persamaan yang perlu ada ialah dengan bersyukur dengan apa jua rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Ingat, Dia yang memberikan rezeki, dan dia jugalah yang boleh menarik rezeki kita pada bila-bila masa, dalam apa jua keadaan sekalipun. Jadi, jangan kufur nikmat, sentiasalah bersyukur dengan rezeki Allah di dunia yang sementara ini.  

Allah berfirman Surah Al-Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud:

“Sesungguhnya jika kami bersyukur pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.”

#4 Rezeki Tak Terduga

Kadang-kadang tanpa kita sedari, rezeki itu datang dengan sendirinya. Janganlah kita hairan, janganlah kita pelik. Ini kerana Allah sudah nyatakan dalam Al-Quran, rezeki tanpa diduga bagi sesiapa yang bertaqwa kepadaNya. Begitu mudahnya mahu mendapat rezeki dari Allah bukan? Sama-samalah kita perbaiki diri dengan bertaqwa kepada Allah.

Allah berfirman Surah Al-Thalaq, ayat 2&3 yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.”

#5 Rezeki kerana Istighfar

Jika kita sentiasa mengingati dan beristighfar kepada Allah, insyaAllah pintu rezeki juga akan terbuka luas buat kita. 

Allah berfirman Surah Nuh, ayat 10&11 yang bermaksud:

“Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta.”

#6 Rezeki kerana Bernikah

Jangan ada perasaan takut untuk bernikah, atau melambatkan pernikahan anda. Jika rezeki menjadi punca anda melambatkan urusan pernikahan, anda patut berfikir semula. Ini kerana Allah sudah nyatakan di dalam Quran, rezeki itu akan sentiasa ada apabila kita sudah bernikah. Apa yang penting, usaha dan kesungguhan dalam mencari nafkah untuk isteri kita jangan sekali abaikan.

Allah berfirman Surah An-Nur, ayat 32 yang bermaksud:

“Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak dari hamba sahayamu baik laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, maka Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dengan kurnia-Nya.

#7 Rezeki kerana anak

Anak merupakan anugerah Allah yang paling bernilai buat kita. Anak juga adalah rezeki yang tidak terbeli harga nya buat kita daripada Allah. Jadi janganlah sesekali mengabaikan anak-anak kita. Boleh jadi anak lah yang menjadi asbab kepada kesenangan kita di dunia ini.

Allah berfirman Surah Al-Israa’, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”

#8 Rezeki kerana sedekah

Jenis rezeki dari Allah yang terakhir bagi entri kali ini  ialah datangnya rezeki Allah kerana sedekah. Ada dalam kalangan kita yang beranggapan jika kita keluarkan wang untuk bersedekah, maka berkuranglah wang/rezeki kita. Ketahuilah bahawa semakin banyak kita memberi (sedekah), semakin banyak rezeki yang Allah janjikan kepada kita. Jangan sesekali kita sangkal kekuasaan Allah. Jadi, jangan takut untuk bersedekah atau melakukan infaq. InsyaAllah, niat yang baik pasti di balas dengan kesudahan yang baik.   

Allah berfirman Surah Al-Baqarah, ayat 245 yang bermaksud:

‘’Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada kepada Allah, pinjaman yang baik (infaq & sedekah), maka Allah akan melipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipatan yang banyak.’’

Berlumba-lumba lah untuk bersedekah, insyaAllah rezeki Allah menanti kita~

Semoga Allah sentiasa melimpahkan kita dengan rezeki yang membawa kita ke jalan Allah~

Kredit kepada: Al-Mukhlisin

 

 

 

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply