7 Cara Mendapat Keberkatan Ilmu

Ilmu sangat penting dalam hidup kita. Menuntut ilmu juga adalah satu tuntutan dalam Islam. Ramai dalam kalangan kita yang penuh ilmu di dada dan berjaya dalam hidup. Namun, ilmu yang dimilikinya seakan menjauhkannya dari Allah. Nauzubillah, perkara yang kita tidak mahu terjadi ialah hilangnya keberkatan dari Allah dalam ilmu yang dimiliki. Admin kongsikan langkah mendapatkan keberkatan dalam ilmu yang dimiliki boleh memberi kebaikan dunia dan di akhirat.

#1 Niat Mencari Ilmu Kerana Allah

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs, Umar Bin Al-Khattab E.A katanya: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya,

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap seorang orang mendapat pahala berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrah itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin menikahinya, maka hijrah itu adalah kepada apa yang dia niatkan.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


 

Setiap amalan kita akan disertai dengan niat. Oleh itu, apabila kita mencari ilmu niat lah  untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah. InsyaAllah, Allah akan mempermudahkan segala  urusan kita. Niat dengan tujuan yang betul dan jangan pula ilmu dicari hanya untuk mendapat pengiktirafan, kekayaan dan harta benda, kerana semua itu hanya akan membawa kepada lembah kebinasaan dan kerosakan.

 

#2 Beramal Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Jika kita ingin mengetahui sama ada ilmu yang kita pelajari berkat atau tidak, ukurlah berapa kerap kita beramal dengan ilmu tersebut. Kuranglah keberkatan daripada Allah jika kita kurang mengamalkan ilmu yang sudah dipelajari. Apa guna mempunyai ilmu yang banyak, tetapi tidak mengamalkannya. Ianya langsung tidak memberikan apa-manfaat kepada kita, apatahlagi keberkatan daripada Allah.

Syeikh Abdurrahman bin Qasim An Najdi Rahimahullah mengatakan;

“Amal adalah buah dari ilmu, ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain, fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih jelek keadaannya daripada orang bodoh.”


 

#3 Mengajarkan Ilmu Kepada Orang Lain

Rasulullah pernah bersabda tentang pentingnya untuk mengerjakan ilmu kepada orang lain. Cuba bayangkan orang lain mendapat manfaat hasil daripada ilmu yang telah kita ajarkan? Hati kita pun pasti bertambah senang bukan? Dan pastinya ilmu itu akan memberi keberkatan kepada diri kita hasil mengajar ilmu itu kepada orang lain.

Imam Ahmad mengatakan bahawa,

“Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada berjihad dan amalan sunnah yang lain. Ini kerana ilmu adalah asas dan pokok kepada segala urusan, bahkan ianya merupakan ibadah paling agung serta kewajipan kolektif yang paling ditekankan. Bahkan dengan ilmulah, Islam dan kaum Muslimin tetap teguh.”


 

#4 Tidak Menggunakan Ilmu Untuk Mendapatkan Nikmat Dunia

Apapun yang kita lakukan di dunia ini selain kerana Allah, pastinya hilang keberkatan daripada Allah, malah akan dimurkaiNya. Kita janganlah mempergunakan ilmu untuk semata-mata untuk kecapi  kekayaan dan kemewahan di dunia. Ada juga diantara kita yang menggunakan ilmu untuk mengejar populariti/ supaya dipuja di atas ilmunya. Hindari sifat ‘berlagak alim’ dan mengetahui semua perkara sehingga pada akhirnya memberi jawapan atau hujahan yang salah sekali gus mengelirukan masyarakat.

Penting untuk kita fahami bahawa segala ilmu yang kita perolehi tujuan nya hanya satu, iaitu untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memberi manfaat kepada masyarakat. Barulah ilmu itu diberkati oleh Allah.

 

#5 Tidak Sombong Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Penyakit sombong adalah penyakit yang sangat  berbahaya, dalam apa jua hal dan keadaan. Jika ilmu sudah penuh di dada, tidak mustahil untuk seseorang itu merasa riak dan sombong dengan ilmu yang dimilikinya.

Allah berfiman Surah Az-Zumar, ayat 72 yang bermaksud,

“Dikatakan (kepada mereka), ‘Masukilah pintu-pintu neraka jahanam itu, (kamu) kekal di dalamnya. ‘Maka (neraka jahanam) itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang menyombongkan diri.”  


Oleh itu, sentiasalah ada sifat rendah diri dalam diri kita dan sentiasa ingat segala apa yang kita miliki ini hanyalah pinjaman sementara olehNya di dunia ini. Semakin kita sombong, semakin jauh kita daripada Allah. Sentiasa bersyukur dengan apa nikmat yang Allah berikan kepada kita.

#6 Menjaga Adab Dengan Ilmu

Bukan sahaja ketika makan dan minum, tetapi ilmu juga perlu dijaga adabnya agar ianya diberkati Allah sentiasa. Cara kita menerima ilmu dengan guru kita juga antara menjaga adab dengan ilmu. Antara adab-adab lain yang boleh kita praktikkan ialah duduk dalam keadaan yang beradab dan sopan, memberi fokus dan perhatian dan bersungguh-sungguh dalam mendalami sesebuah ilmu itu. Jika kita jaga adab dengan ilmu,nescaya Allah akan berikan keberkatan ilmu itu di dunia dan akhirat.

 

#7 Berguru Dengan Guru Yang Alim

Habib Ahmad Zain Al Habsyi pernah berkata:

“Tanda seorang guru alim yang dapat dipercayai adalah yakni orang yang engkau ingin mengambil ilmu agama daripadanya adalah takut kepada Tuhannya dan tanda takut itu boleh dilihat daripada perbuatannya. Jika engkau tidak mendapatinya sedemikian maka tinggalkan dan jangan mengikutinya”


Guru yang alim akan membawa kita ke arah keberkatan ilmu. Oleh sebab itu, bila menuntut ilmu, pemilihan guru sangat penting, agar segala ilmu yang kita dalami tidak terpesong daripada kebenaran yang hakiki, khususnya berkaitan ilmu agama. Allah akan permudahkan segala urusan kita dan memberkati setiap ilmu yang kita dalami, jika kita berusaha untuk mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat.

 

Kredit kepada: Tazkirah.net

 

 

p/s: Telekung Siti Khadijah akan melakukan Majlis Pembukaan Butik Baru di AEON Mall Manjung! Bila masanya? Tunggu~ 🙂

 

Dapatkan koleksi Telekung Siti Khadijah di www.sitikhadijah.com

 

 

 

 

 

 

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply