Bulan Ramadan Hampir Tiba, Ketahui Tujuan Sebenar Kita Berpuasa

Berpuasa di bulan Ramadan merupakan antara tuntutan dari Allah kepada semua hambaNya di dunia ini. Sudah Allah janjikan pelbagai kebaikan dan pengampunan pelbagai dosa serta syurga kepada yang berpuasa dengan ikhlas. Allahuakbar!  

Bagaimana dengan berpuasa dapat membentuk peribadi kita? 🙂

#1 Mendidik Diri Kita Untuk Mentaati Perintah Allah

  • Jika difikirkan secara logik, berpuasa agak berat untuk dilakukan. Kita tidak makan dan tidak minum sedangkan ia satu keperluan asas untuk terus hidup.
  • Namun, dengan kekuatan iman, kita tetap menuruti suruhan itu kerana kita tahu ia datang dari Allah.
  • Kerana sifat kasih dan cinta kepada Allah dalam menuruti perintahnya, maka berpuasalah dengan seikhlas mungkin agar mendapat keredhaan dariNya.

#2 Membentuk Sifat Penyayang Kepada Diri Sendiri & Orang Lain

  • Jangan tak tahu, dengan berpuasa juga dapat membentuk sifat penyayang dalam diri.
  • Ia menimbulkan rasa kasih, tolong-menolong, mengambil berat dan bertimbang rasa terhadap mereka yang tidak bernasib baik.
  • Dengan berlapar dan dahaga seharian akan mengingatkan kita kepada golongan yang kurang bernasib baik dan tidak dapat makan dan minum seperti kebanyakan daripada kita.

#3 Sebagai Latihan Memupuk Sifat Sabar Dalam Diri

  • Sedarkah kita, kadang-kadang dalam kita berpuasa lah akan datang ujian dan dugaan, betul atau tidak?
  • Suka atau tidak, inilah yang dinamakan ujian dari Allah. Allah mahu uji kita, di mana tahap kesabaran dan kebergantungan kita.
  • Oleh itu, sabar itu sangat penting dan semoleknya kita perlu bersyukur kepada Allah apabila datangnya ujian seperti kehilangan keperluan asas dalam hidup iaitu makan dan minum. Kesengsaraan ini melatih diri untuk terus kuat.

#4 Mendidik Diri Bersyukur 

  • Seperti yang saya terangkan sebelum ini, bagi yang menyedari keadaan ini, mereka akan lebih mensyukuri dengan apa jua dugaan yang melanda. Dalam menempuhi ujian yang menguji kesabaran, Allah akan menggantikannya dengan pahala yang berlipat-kali ganda.
  • Malah lebih banyak lagi ganjaran diberikan kepada mereka yang ikhlas dalam berpuasa serta melakukan amal kebaikan semasa sedang mengerjakannya.
  • Paling penting ialah pintu khas menuju ke syurga yang disebut sebagai ar-Rayyan untuk mereka. Ini adalah tanda dan bukti kasih sayang Allah kepada mereka yang berbuat kebaikan.

#5 Mendapat Keampunan Daripada Allah

  • Hanya orang yang ikhlas dalam berpuasa akan mendapat keampunan daripada Allah. Inilah harapan kita dan janji Allah kepada umat-Nya. Jadi, bagi mendapatkan keampunan dan kebaikan ini, kita didik jiwa kita agar melakukan semuaya secara ikhlas semata-mata kerana Allah.

#6 Melahirkan Keikhlasan

  • Pembentukan sifat ikhlas dalam jiwa kita inilah yang menjadikan kita sebagai seorang hamba yang mendekatkan diri dengan Allah. Jiwa sebegini insyaAllah dapat membuatkan kita menahan diri daripada nafsu dan kehendak duniawi.
  • Jadi, kita berusaha mengawal diri kita agar terhindar daripada dosa dan maksiat. Maka, puasa menjadikan kita insan yang berdisiplin.

#7 Berpuasa Dapat Memuhasabahkan Diri

  • Akhir sekali, dengan berpuasa juga dapat menilai siapa diri kita sebenarnya. Adakah kita sudah melakukan ibadah puasa dengan sempurna? Adakah amalan kita diterima Allah?
  • Dengan elemen-elemen inilah yang akhirnya membuatkan kita insaf.
  • Secara tidak langsung, kita dapat merasai diri kita sebagai hamba yang lemah dan memerlukan Allah dalam hidup kita. Lalu, kita menjadi hamba yang berharap kepada keredhaan-Nya.

Haa dah tahu kan bagaimana dengan berpuasa sahaja dapat membentuk peribadi yang baik? Pokok pangkal nya, tanya hati kita, adakah kita akan berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah? Ataupun sekadar untuk memenuhi tuntutan rukun Islam?

 

 

Kredit kepada: Tazkirah.net

Author Profile

Hasif Hilmi

Hasif Hilmi
An avid learner of everything. Motorbike enthusiast. Cooking is the hobby.
Cheers. Assalamualaikum. 🙂
SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply