Banyak makan di bulan Syawal? Jom puasa sunat 6 Syawal!

Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk menyambut kedatangan bulan Syawal tahun ini. Pastinya Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi lebih makna kepada kita dari tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah. 🙂

Bila dah raya tu, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita makan terlalu banyak . Al maklumlah, pelbagai juadah raya yang dihidangkan oleh sanak saudara kita semua kan?

Bila dah terlebih makan tu, apa kata kita mulakan puasa Sunat 6 hari di bulan Syawal? Fadilatnya pun banyak! 🙂

Siapa alami ‘situasi’ begini di musim raya ni? Hehe.. 🙂

Jadi apa antara solusi terbaik? Ya, puasa sunat!

Berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan bererti puasanya adalah sama dengan puasa selama 10 bulan. Berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal pula sama seperti dengan 60 hari (2 bulan) berpuasa. Oleh sebab itulah, mereka yang berpuasa 1 bulan di bulan Ramadan, kemudian berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal akan mendapat pahala puasa seperti setahun penuh

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud,

“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” HR Muslim

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud,

“Mahukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai..…”-HR Tirmidzi-

Berdasarkan hadis ini, dapatlah kita simpulkan yang puasa juga adalah perisai seorang Muslim daripada maksiat semasa dia di dunia, dan merupakan perisainya dari api neraka di akhirat nanti.

Antara hikmah berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal:-

1. Pelengkap dari puasa di bulan Ramadan

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal selepas Ramadan adalah pelengkap pahala dari puasa setahun penuh. Penyempurna dari kekurangan, membawa maksud, walaupun hukumnya sunat, pada hari Kiamat nanti perbuatan2 fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah ini.

Rasulullah pernah bersabda dalam hadis Qudsi yang bermaksud,

“Dan senantiasa hamba Ku mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan2 sunnah sehingga Aku mencintainya.” -HR Bukhari

2. Sistem pencernaan yang baik

Selama 1 bulan sistem pencernaan kita berehat pada waktu siang. Kedatangan bulan Syawal boleh mendatangkan kejutan bagi sistem pencernaan kita, tambahan apabila disajikan dengan pelbagai juadah di dalam pelbagai majlis yang biasa masyarakat kita lakukan di bulan Syawal ini. Maka, puasa 6 ini memberi peluang kepada sistem pencernaan kita yang telah direhatkan tadi untuk bertugas secara beransur-ansur.

3. Amalan Ramadan tidak terputus

Antara manfaat lain berpuasa 6 di bulan Syawal adalah amalan yang dilakukan oleh seseorang itu di dalam bulan Ramadhan, untuk mendekatkan diri-Nya dengan Allah, tidak akan terputus setelah berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama seseorang itu masih hidup. Ini juga mengajar kita untuk beribadat secara istiqamah dan berpanjangan. Menyusuri daripada kata-kata golongan cerdik pandai,  “Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.”

4. Tanda syukur rahmat di bulan Ramadan

Bepuasa di bulan Ramadan pastinya akan mendatangkan maghrifah atas dosa-dosa masa lalu. Orang yang berpuasa di bulan Ramadan akan menerima ‘ganjaran’ di bulan Syawal. Maka berpuasa di bulan Syawal adalah seperti tanda kita bersyukur dengan ganjaran yang diterima. Ia juga sebagai tanda syukur atas segala nikmat, pertolongan dan pengampunan yang telah diberikan olehNya dalam bulan Ramadan. Dan atas rasa cintanya terhadap ibadah puasa di bulan Ramadan, ia tidak mengundang kita daripada merasa bosan, berat atau jenuh ketika berpuasa, dan meneruskannya dengan berpuasa lagi selama 6 hari di bulan Syawal.

 

Haaa apa lagi tunggu? JOm kita segerakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni. Akan tetapi, bagi mereka yang mempunyai hutang berpuasa di bulan Ramadan, jangan pula lupa untuk menyudahkannya dahulu sebelum memulakan berpuasa 6 ini. Ini kerana barangsiapa yang berpuasa Syawal terlebih dahulu dan masih ada tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya itu hanya dianggap puasa sunnah muthlaq (puasa sunnah biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa di bulan Syawal.

Selamat berpuasa sunat 6 hari Syawal semua! 🙂

 

 

 

Kredit kepada: Hafizamri.com

Author Profile

Hasif Hilmi

Hasif Hilmi
An avid learner of everything. Motorbike enthusiast. Cooking is the hobby.
Cheers. Assalamualaikum. 🙂
SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply