Kenali Pengasas Telekung Siti Khadijah…

Apabila kita sebut sahaja telekung berinovasi, pastinya jenama Siti Khadijah begitu sinonim dan menjadi perhatian kaum Muslimah dengan rekaan telekung yang menarik dan eksklusif.

Bagi pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd, Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman, 55 tahun, kejayaan yang dikecapi  sekarang adalah hasil daripada minatnya yang mendalam dalam bidang penjahitan. Sejak dulu lagi, Puan Padzilah juga bersungguh-sungguh dalam melakukan kajian, pembangunan dan inovasi untuk produk rekaannya seiring dengan dunia fesyen terkini.

Mengambil tempoh hampir sembilan tahun, empayar Telekung Siti Khadijah kini berkembang pesat dengan mempunyai lebih 30 cawangan butik di seluruh Malaysia. Lebih membanggakan, produk telekung Siti Khadijah berjaya menembusi pasaran Indonesia, yang terkenal dengan produk telekung yang penuh variasi dan inovasi. Kini, Siti Khadijah melebarkan sayap ke negara burung garuda itu yang terletak di Jakarta dan Bandung.

Pelbagai pengiktirafan yang diterima Puan Padzillah Enda Sulaiman dalam meneraju bidang keusahawanan seperti Women Entrepreneur Award 2016Anugerah Usahawan Wanita E50 2017, Anugerah Perdana & Anugerah Pemasaran Digital oleh SME Corp, Anugerah Superbrand Deloitte, di mana jenama Siti Khadijah telah diletakkan sebaris dengan jenama-jenama besar seperti 7 Eleven dan Bank CIMB.

 

Nak tahu rahsia kejayaan Puan Padzilah Enda Sulaiman? Jom admin kongsikan. 🙂

#1  Hanya Bermula Dengan Minat

  • Benarlah kata orang, tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai minat dan semangat untuk berjaya.
  • Bagi anda yang tidak tahu, sejak di bangku sekolah lagi, Puan Padzilah begitu cenderung untuk menjahit.
  • Sungguhpun tidak mengambil aliran sains rumah tangga, itu tidak menjadi penghalang kepada keinginan beliau untuk menjahit dan menghasilkan sesuatu seni jahitan daripada tangannya sendiri.
  • Dengan minat beserta bakat yang ada, Puan Padzilah tidak mahu mempersiakan anugerah yang telah diberi Ilahi.

#2  Mengutamakan Keselesaan Beribadat

  • Setiap kali Ramadan menjelma, beliau pasti membeli sehelai telekung baharu untuk mengerjakan ibadah tarawih.
  • Baginya, untuk ibadah yang memakan masa yang agak lama seperti solat tarawih, haji dan umrah, pemakaian telekung haruslah selesa, menepati syariat dan juga nampak menawan untuk si pemakai.
  • Kecewa kerana tiada satu telekung pun yang menepati citarasa beliau, setiap telekung yang dibelinya pasti diubah suai terutama sekali di bahagian muka agar tampil kemas, selesa dan anggun.
  • Siapa sangka, tabiatnya itu mula mendapat perhatian seorang rakan, mencadangkan beliau memulakan perniaagaan telekung secara komersial.

#3  Saidatina Siti Khadijah Sebagai Aspirasi

  • Bagi Puan Padzilah, nama Siti Khadijah mempunyai nilai penjenamaan yang tersendiri. Siapa yang tidak mengenali ikon srikandi solehah yang amat dekat pada hati Rasulullah.
  • Figura ini adalah insan agung yang menjadi suri teladan bagi wanita Islam, isteri yang setia, usahawan ternama yang disegani yang sentiasa dipandang tinggi oleh Rasulullah.
  • Puan Padzilah mahu jenama Siti Khadijah sentiasa meniti di bibir dan melekat di hati pelanggan. “Ingat telekung, ingat Siti Khadijah.”

#4  ‘Marketing’ yang Pelbagai

  • Memulakan perniagaannya pada tahun 2009, Puan Padzilah dibantu oleh anak sulungnya, berjaya membuka domain perniaagaan atas talian, www.sitikhadijah.com.
  • Beliau juga berhubung rapat dengan wartawan akhbar arus perdana untuk mempromosikan produk telekungnya.
  • Ternyata strategi promosi beliau berjaya apabila salah seorang pelanggan telekung Siti Khadijah merupakan seorang penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran di TV3.
  • Beliau dijemput sebagai tetamu di WHI dan dari situ permintaan telekung Siti Khadijah meningkat di luar jangkaan, mengatasi bekalan telekung.
  • Pada tahun 2014, Siti Khadijah menerima tawaran untuk muncul dalam rancangan Astro Go Shop.
  • Bermula dengan 50,000 pasang telekung yang ditempah secara belian terus oleh Go Shop, jalinan perhubungan perniagaan antara Siti Khadijah dan Go Shop diteruskan.

#5  Cabaran-cabaran Dalam Bisnes

  • Puan Padzilah memulakan perniagaan telekungnya bermodalkan RM10,000 dengan sejumlah 200 pasang telekung yang dijahitnya sendiri.
  • Sasaran awal pelanggan pada masa itu ialah syarikat-syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah.
  • Ternyata rezeki tidak menyebelahi beliau kerana syarikat-syarikat yang ditemuinya berpendapat telekung Siti Khadijah terlalu eksklusif dan mahal harganya.
  • Namun, kegagalan beliau sebenarnya bukan kerana masalah harga yang mahal dan premium, tetapi kegagalan dalam menentukan sasaran pelanggan.
  • Setelah mempromosikan telekungnya di dalam ruangan akhbar perdana dan media massa, bertali arus panggilan dan tempahan yang diterima oleh beliau.
  • Beliau juga pernah menyaman sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa pada tahun 2010 atas dakwaan meniru rekaan produk jenama Siti Khadijah yang sudah pun didaftar di bawah reka bentuk hak cipta dan industri.
  • Dengan kesabaran dan kesungguhan, beliau memenangi kes tersebut.

#6 Tips Berniaga

  • Puan Padzilah berpendapat setiap orang mempunyai potensi untuk berniaga. Tanamkan minat dan kesungguhan terlebih dahulu dan sentiasa mencipta peluang.
  • Asah bakat yang ada supaya ia tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Bakat juga boleh dibentuk dengan keazaman yang tinggi. Pesan Padzillah kepada individu yang ingin memulakan bisnes;

“Seseorang itu perlu berfikiran positif, memiliki kekuatan dalaman, berani, tidak mudah putus asa, rajin mencari ilmu dan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah.

#7 Mengaplikasikan Blue Ocean Strategy

  • Pembabitan awal Puan Padzilah dalam perniagaan menjahit telekung menimbulkan pelbagai tanggapan yang negatif.
  • Tanggapan yang bagaimana? Ramai yang mempersoalkan yang produk telekung sudah berlambak di pasaran.
  • Namun, beliau menepis kata-kata yang tidak membina dan negatif itu dengan bijaksana.
  • Dengan merujuk kepada Blue Ocean Strategy, perniagaan produk telekung sememangnya sudah banyak di pasaran.
  • Pengusaha bisnes telekung dikatakan berada di dalam samudera merah, masing-masing perlu bersaing dan memastikan produk mereka kekal bertahan dan mendapat sambutan.
  • Baginya, tidak salah untuk terjun ke samudera merah, tetapi pastikan para pengusaha ini berenang ke samudera biru yang lebih cantik dan mendamaikan.

Pentingnya daya kreativiti dan inovasi daripada para pengusaha dalam penghasilan produk mereka. Di dalam samudera biru, produk mereka ada keistimewaan dan keunikan namun dalam kelas yang tersendiri. Usaha yang bersungguh-sungguh dari tahun ke tahun membuahkan hasil, dengan Telekung Siti Khadijah kini mempunyai lebih 30 butik di seluruh Malaysia dan Indonesia.

#8  Sokongan Daripada Suami Dan Keluarga

  • Puan Padzilah bertuah kerana suami dan enam orang anaknya yang kesemuanya lelaki terlibat dalam membangunkan jenama Siti Khadijah.
  • Menantunya juga menjadi model untuk produk telekung yang dihasilkan. Beliau amat berbangga dengan anak sulungnya, Mohammad Muzammil yang sentiasa aktif mempelajari, menambah ilmu dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan untuk memajukan perniagaan.
  • Mengimbas kembali pengalaman membesarkan anak-anaknya, Padzillah sentiasa menitikberatkan didikan agama.
  • Beliau dan suami sentiasa berusaha untuk memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ternyata kesusahan dan kesungguhan mereka membuahkan hasil yang positif.
  • Puan Padzilah merupakan ikon usahawanita yang sepatutnya menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha wanita yang lain.
  • Apa yang patut dicontohi, dalam pada sibuk dengan kerjaya perniagaan Telekung Siti Khadijah, beliau tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab hakiki kepada ibu-bapa, suami dan anak-anaknya, kerana bagi Puan Padzilah, rahsia sebenar kejayaan itu adalah terletak pada restu ibu bapa.

 

Kejayaan Pengasas Telekung Siti Khadijah ini seharusnya dijadikan contoh yang baik buat pengusaha-pengusaha  yang ingin memulakan perniagaan sendiri. Kita perlu percaya yang usaha itu tangga kejayaan, dan tiada apa yang mustahil di dalam dunia ini. Asalkan kita ikhlas dalam apa yang kita lakukan, insyaAllah Allah akan melihat dan memperkenan apa yang kita hajati.

 

”Penghasilan telekungnya bukan hanya bermatlamatkan keselesaan, malah ia memenuhi tuntutan ukhrawi iaitu sebagai pelaburan untuk saham akhirat”, Padzilah Enda Sulaiman

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rungutan dan pertikaian. Hanya Allah yang menentukan sebaik-baik ganjaran.

Author Profile

Hasif Hilmi

Hasif Hilmi
An avid learner of everything. Motorbike enthusiast. Cooking is the hobby.
Cheers. Assalamualaikum. 🙂
SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply