Adab Mengunjungi Rumah Terbuka?

Assalamualaikum #FamilySK. Masih dalam mood beraya ke tu? Pastinya musim perayaan ni ramai dalam kalangan kita yang berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai kan? Tak kurang juga yang membuat rumah terbuka atau ‘open house’. Mesti riuh kan bila kita ke open house. Yelah dengan gelagat anak-anak kecil kita lagi kan. Pada entri kali ini, saya terpanggil untuk menulis tentang adab-adab yang boleh kita praktikkan apabila kita berkunjung ke mana-mana rumah terbuka di musim perayaan ini. 🙂
Rasulullah mengajar kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaan  sangat terserlah dengan sering menziarahi ahli keluarga dan jiran berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

 

Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan KAMI menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Hujurat; Ayat 13).

#1 NIAT & TUJUAN YANG BETUL
  • Perkara pertama yang perlu dititik beratkan adalah berkaitan dengan niat dan tujuan.
  • Sepertimana yang kita ketahui, memenuhi undangan adalah baik dalam kehidupan bermasyarakat kerana dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim, saling bermaaf-maafan sesama rakan, jiran dan keluarga.
  • Cuba elakkan dari menghadiri atau menziarahi rumah terbuka dengan niat dan tujuan seperti untuk menonjolkan diri dengan menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan pakaian raya masing-masing.
#2 TEPATI MASA
  • Kedua ialah adalah berkaitan dengan masa.
  • Hadirlah pada waktu yang tepat dan patuhilah masa yang sudah ditetapkan oleh pihak tuan rumah.
  • Elakkan untuk hadir terlalu awal atau terlalu lewat dari masa yang sepatutnya.
#3 MENJAGA AURAT
  • Aurat juga memainkan peranan yang penting dalam menjaga adab ketika pergi ke rumah terbuka.
  • Pakailah pakaian yang bersesuaian dan selesa. Elakkan dari memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menjolok mata sehingga mengundang perasaan tidak selesa tuan rumah dan para tetamu yang lain.
#4 MENGHORMATI TUAN RUMAH
  • Ketika sampai ke majlis rumah terbuka, beri lah salam kepada tuan rumah dengan penuh hormat dan mintalah izin untuk masuk ambal menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalaman serta bertanya khabar.
  • Begitu juga apabila pulang nanti, janganlah terus pergi begitu sahaja, bertemulah tuan rumah terlebih dahulu untuk meminta izin berundur
  • Juga jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan tun rumah.
  • Mendoakan agar sentiasa  murah rezeki dan diberkati usia mereka sekeluarga.
#5 JAGA AKHLAK & TINGKAH LAKU
  • Akhlak dan tingkah laku haruslah dijaga semasa berada di majlis rumah terbuka.
  • Sewajarnya dielakkan daripada bersikap bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk, sombong, riak, dan takabbur.
  • Rendahkanlah suara ketika bercakap agar tidak menganggu perbualan tetamu yang lain.
  • Kawal pandangan mata semasa berkunjung ke rumah terbuka. Janganlah pula melilau-lilau memandang dan meneroka rumah tuan rumah ikut sesuka hati sahaja sehingga ke bilik tidur mereka.
  • Peliharalah diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu ketenteraman atau tidak disenangi oleh tuan rumah.
#6 JAGA ADAB KETIKA MENJAMU SELERA
  • Setiap kali menghadiri rumah terbuka, sudah pasti akan ada pelbagai juadah yang disediakan oleh tuan rumah untuk para tetamu yang hadir.
  • Adab makan perlu dijaga dan janganlah makan secara berlebihan.
  • Ambil apa yang anda rasa perlu sahaja dalam kuantiti yang sedikit.
  • Elakkan daripada membazir kerana membazir itu adalah amalan syaitan.
  • Sekiranya anda mempunyai penyakit dan alahan, makanlah makanan yang sihat dan tidak melanggar pantang.
 
#7 ELAKKAN DARIPADA MEMBAWANG/MENGUMPAT
  • Elakkan dari menjadikan rumah terbuka sebagai tempat untuk berkumpul dan mengumpat tentang hal orang lain. Selepas pulang dari rumah terbuka pula janganlah membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan setiap rumah yang dikunjungi.
  • Sama ada dari segi layanan, kemewahan, perhiasan atau makanan yang dihidangkan. Namun sebagai tetamu, kita haruslah bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.
#8 JANGAN LUPA SOLAT
  • Ketika sibuk menghadiri majlis-majlis rumah terbuka, janganlah sehingga melalaikan untuk menunaikan solat 5 waktu.
  • Utamakanlah solat dan cuba singgah terlebih dahulu di mana-mana masjid/surau berhampiran setelah masuk waktu solat. Ini akan memudahkan urusan perjalanan dan masa kita akan lebih diberkati Allah.
 Rasulullah bersabda yang bermaksud,

 “Sesiapa meninggalkannya (solat), maka sesungguhnya ia telah kufur (mengerjakan perbuatan orang kafir).” (Riwayat Ibnu Hibban; At-Targhib 1:348).

#9 MEMENDEKKAN TEMPOH ZIARAH
  • Cuba elakkan daripada duduk terlalu lama ketika berkunjung ke rumah terbuka.
  • Jangan biarkan sehingga tuan rumah berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi jika pada hari itu terdapat ramai tetamu yang hadir dan terhad tempatnya.

Haaa dah tau kan adab-adab ketika pergi ke rumah terbuka? Jadi, di musim perayaan ni, berpada-pada lah ya. Lagi satu, jangan makan berlebihan ketika beraya di rumah terbuka. Bukan apa, takut ada yang tak masuk kerja pula sebab sakit perut! 🙂

Author Profile

Hasif Hilmi

Hasif Hilmi
An avid learner of everything. Motorbike enthusiast. Cooking is the hobby.
Cheers. Assalamualaikum. 🙂
SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Leave a Reply