Adab Mengunjungi Rumah Terbuka?

Assalamualaikum #FamilySK. Masih dalam mood beraya ke tu? Pastinya musim perayaan ni ramai dalam kalangan kita yang berkunjung ke rumah sanak-saudara dan sahabat handai kan? Tak kurang juga yang membuat rumah terbuka atau ‘open house’. Mesti riuh kan bila kita ke open house. Yelah dengan gelagat anak-anak kecil kita lagi kan. Pada entri kali ini, saya terpanggil untuk menulis tentang adab-adab yang boleh kita praktikkan apabila kita berkunjung ke mana-mana rumah terbuka di musim perayaan ini. 🙂
Rasulullah mengajar kita contoh mengenai keindahan dalam hubungan kemasyarakatan. Sikap keterbukaan  sangat terserlah dengan sering menziarahi ahli keluarga dan jiran berlainan agama apabila ada kematian, menghadiri jamuan makan mereka dan menziarahi orang sakit.

 

Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan KAMI menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Hujurat; Ayat 13).

#1 NIAT & TUJUAN YANG BETUL
  • Perkara pertama yang perlu dititik beratkan adalah berkaitan dengan niat dan tujuan.
  • Sepertimana yang kita ketahui, memenuhi undangan adalah baik dalam kehidupan bermasyarakat kerana dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim, saling bermaaf-maafan sesama rakan, jiran dan keluarga.
  • Cuba elakkan dari menghadiri atau menziarahi rumah terbuka dengan niat dan tujuan seperti untuk menonjolkan diri dengan menunjuk-nunjuk dan berbangga dengan pakaian raya masing-masing.
#2 TEPATI MASA
  • Kedua ialah adalah berkaitan dengan masa.
  • Hadirlah pada waktu yang tepat dan patuhilah masa yang sudah ditetapkan oleh pihak tuan rumah.
  • Elakkan untuk hadir terlalu awal atau terlalu lewat dari masa yang sepatutnya.
#3 MENJAGA AURAT
  • Aurat juga memainkan peranan yang penting dalam menjaga adab ketika pergi ke rumah terbuka.
  • Pakailah pakaian yang bersesuaian dan selesa. Elakkan dari memakai pakaian yang tidak menutup aurat, menjolok mata sehingga mengundang perasaan tidak selesa tuan rumah dan para tetamu yang lain.
#4 MENGHORMATI TUAN RUMAH
  • Ketika sampai ke majlis rumah terbuka, beri lah salam kepada tuan rumah dengan penuh hormat dan mintalah izin untuk masuk ambal menghulurkan tangan kepadanya untuk bersalaman serta bertanya khabar.
  • Begitu juga apabila pulang nanti, janganlah terus pergi begitu sahaja, bertemulah tuan rumah terlebih dahulu untuk meminta izin berundur
  • Juga jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan tun rumah.
  • Mendoakan agar sentiasa  murah rezeki dan diberkati usia mereka sekeluarga.
#5 JAGA AKHLAK & TINGKAH LAKU
  • Akhlak dan tingkah laku haruslah dijaga semasa berada di majlis rumah terbuka.
  • Sewajarnya dielakkan daripada bersikap bangga diri dan bersikap menunjuk-nunjuk, sombong, riak, dan takabbur.
  • Rendahkanlah suara ketika bercakap agar tidak menganggu perbualan tetamu yang lain.
  • Kawal pandangan mata semasa berkunjung ke rumah terbuka. Janganlah pula melilau-lilau memandang dan meneroka rumah tuan rumah ikut sesuka hati sahaja sehingga ke bilik tidur mereka.
  • Peliharalah diri daripada perlakuan dan tindakan yang tidak baik sewaktu menziarahi kerana perbuatan tersebut boleh mengganggu ketenteraman atau tidak disenangi oleh tuan rumah.
#6 JAGA ADAB KETIKA MENJAMU SELERA
  • Setiap kali menghadiri rumah terbuka, sudah pasti akan ada pelbagai juadah yang disediakan oleh tuan rumah untuk para tetamu yang hadir.
  • Adab makan perlu dijaga dan janganlah makan secara berlebihan.
  • Ambil apa yang anda rasa perlu sahaja dalam kuantiti yang sedikit.
  • Elakkan daripada membazir kerana membazir itu adalah amalan syaitan.
  • Sekiranya anda mempunyai penyakit dan alahan, makanlah makanan yang sihat dan tidak melanggar pantang.
 
#7 ELAKKAN DARIPADA MEMBAWANG/MENGUMPAT
  • Elakkan dari menjadikan rumah terbuka sebagai tempat untuk berkumpul dan mengumpat tentang hal orang lain. Selepas pulang dari rumah terbuka pula janganlah membanding-bandingkan kelebihan dan kekurangan setiap rumah yang dikunjungi.
  • Sama ada dari segi layanan, kemewahan, perhiasan atau makanan yang dihidangkan. Namun sebagai tetamu, kita haruslah bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.
#8 JANGAN LUPA SOLAT
  • Ketika sibuk menghadiri majlis-majlis rumah terbuka, janganlah sehingga melalaikan untuk menunaikan solat 5 waktu.
  • Utamakanlah solat dan cuba singgah terlebih dahulu di mana-mana masjid/surau berhampiran setelah masuk waktu solat. Ini akan memudahkan urusan perjalanan dan masa kita akan lebih diberkati Allah.
 Rasulullah bersabda yang bermaksud,

 “Sesiapa meninggalkannya (solat), maka sesungguhnya ia telah kufur (mengerjakan perbuatan orang kafir).” (Riwayat Ibnu Hibban; At-Targhib 1:348).

#9 MEMENDEKKAN TEMPOH ZIARAH
  • Cuba elakkan daripada duduk terlalu lama ketika berkunjung ke rumah terbuka.
  • Jangan biarkan sehingga tuan rumah berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi jika pada hari itu terdapat ramai tetamu yang hadir dan terhad tempatnya.

Haaa dah tau kan adab-adab ketika pergi ke rumah terbuka? Jadi, di musim perayaan ni, berpada-pada lah ya. Lagi satu, jangan makan berlebihan ketika beraya di rumah terbuka. Bukan apa, takut ada yang tak masuk kerja pula sebab sakit perut! 🙂

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Amalan Sunat di Bulan Syawal?

Ramadan sudahpun berlalu meninggalkan kita. Kini Syawal datang menerpa kita. Tak dapat digambarkan perasaan gembira beraya bersama-sama keluarga di kampung tercinta, bukan? Sebenarnya bulan Syawal bukanlah suatu bulan yang kita hanya memikirkan raya sahaja. Selain bulan Ramadan yang mulia di sisi Allah, Syawal juga antara bulan yang Rasulullah tidak lepaskan peluang untuk beribadat kepada Allah.

Haaa nak tahu apa sunnah Rasulullah ketika bulan Syawal yang dapat kita sama2 praktikkan? Jom admin kongsikan! 🙂

 

#1 Solat Sunat Aidilfitri

Seperti kebiasaannya, pada pagi raya pastinya umat Islam akan menunaikan

Ummu ‘Athiyah RA mengatakan,

Kami diperintahkan untuk mengajak keluar gadis yang baru baligh, gadis-gadis pingitan, dan orang-orang haid untuk menghadiri solat idul fitri dan idul adha…”(HR Bukhari & Muslim)

#2 Berpuasa Sunat 6 Hari Di Bulan Syawal

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud,

“Siapa yang berpuasa Ramadlan, kemudian diikuti puasa enam hari bulan Syawal maka itulah puasa satu tahun.” (HR. Ahmad & Muslim)

Terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang tata cara yang paling baik dalam melaksanakan puasa 6 hari di bulan Syawal:

Pendapat pertama, dianjurkan untuk menjalankan puasa syawal secara berturut-turut, sejak awal bulan. Ini adalah pendapat Imam Syafi’i dan Ibnul Mubarok. Pendapat ini didasari sebuah hadis, namun hadisnya lemah.

Pendapat kedua, Tiada perbezaan dalam keutamaan, antara dilakukan secara berturut-turut dengan dilakukan secara terpisah-pisah. Ini adalah pendapat Imam Waki’ dan Imam Ahmad.

Pendapat ketiga, Tidak boleh menunaikan ibadah puasa sunat setelah idul fitri. Karena itu adalah hari makan dan minum. Namun sebaiknya puasanya dilakukan sekitar tengah bulan. Pendapat daripada Ma’mar, Abdurrazaq, dan diriwayatkan dari Atha’.

 

#3 Melakukan I’tikaf

Dianjurkan bagi orang yang terbiasa melakukan i’tikaf, kemudian karena satu dan lain hal, dia tidak bisa melaksanakan i’tikaf di bulan Ramadan maka dianjurkan untuk melaksanakannya di bulan Syawal.

Dari Aisyah, beliau menceritakan i’tikafnya Rasulullah SAW, kemudian di pagi harinya, baginda melihat ada banyak kemah para istrinya dan bertanya: Apa ini? Setelah diberi tahu, beliau bersabda kepada para istrinya: “Apakah kalian menganggap ini baik?” kemudian beliau tidak i’tikaf di bulan itu, dan beliau i’tikaf pada sepuluh hari di bulan Syawal.” (HR. Al Bukhari & Muslim)

Abu Thayib abadi mengatakan,”I’tikaf baginda di bulan Syawal sebagai ganti (qada) untuk i’tikaf bulan Ramadan yang baginda tinggalkan…”(Aunul Ma’bud-syarah Abu Daud, 7/99)

 

#4 Akad Nikah/Mendirikan rumahtangga

Aisyah R.A pernah mengatakan,

“Rasulullah menikahiku di bulan Syawal, dan beliau tinggal satu rumah (campur) denganku juga di bulan Syawal. Siapakah di antara isteri beliau yang lebih beruntung dari pada aku. Aisyah suka jika wanita dinikahi bulan Syawal.” (HR Ahmad & Muslim)

An Nawawi mengatakan,

“Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk menikah dan membangun rumah tangga (campur) di bulan Syawal. Para ulama madzhab kami (syafi’iyah) menegaskan anjuran hal ini.

Diantara hikmah disunatkan bernikah di bulan Syawal adalah untuk menyangkal tanggapan dan kepercayaan masyarakat jahiliyah.
Imam An Nawawi mengatakan, “Tujuan Aisyah menceritakan hal ini adalah dalam rangka membantah anggapan jahiliyah dan keyakinan tahayul orang awam di zamannya. Mereka membenci acara pernikahan di bulan syawal, karena diyakini akan membawa sial. Ini adalah tanggapan yang salah, tidak memilliki landasan, dan termasuk kebiasaan jahiliyah, dimana mereka beranggapan sial dengan bulan syawal.

Banyak lagi Sunnah Rasulullah di bulan Syawal. Mungkin di entri akan datang admin akan kongsikan lagi Sunnah Rasulullah yang yang lain. Semoga bermanfaat buat semua.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin! 🙂

 

Kredit kepada: Syaamilstore.com

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE

Banyak makan di bulan Syawal? Jom puasa sunat 6 Syawal!

Alhamdulillah kita masih diberi kesempatan untuk menyambut kedatangan bulan Syawal tahun ini. Pastinya Hari Raya Aidilfitri tahun ini memberi lebih makna kepada kita dari tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah. 🙂

Bila dah raya tu, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita makan terlalu banyak . Al maklumlah, pelbagai juadah raya yang dihidangkan oleh sanak saudara kita semua kan?

Bila dah terlebih makan tu, apa kata kita mulakan puasa Sunat 6 hari di bulan Syawal? Fadilatnya pun banyak! 🙂

Siapa alami ‘situasi’ begini di musim raya ni? Hehe.. 🙂

Jadi apa antara solusi terbaik? Ya, puasa sunat!

Berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan bererti puasanya adalah sama dengan puasa selama 10 bulan. Berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal pula sama seperti dengan 60 hari (2 bulan) berpuasa. Oleh sebab itulah, mereka yang berpuasa 1 bulan di bulan Ramadan, kemudian berpuasa selama 6 hari di bulan Syawal akan mendapat pahala puasa seperti setahun penuh

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud,

“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun.” HR Muslim

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud,

“Mahukah aku tunjukkan padamu pintu-pintu kebaikan? Puasa adalah perisai..…”-HR Tirmidzi-

Berdasarkan hadis ini, dapatlah kita simpulkan yang puasa juga adalah perisai seorang Muslim daripada maksiat semasa dia di dunia, dan merupakan perisainya dari api neraka di akhirat nanti.

Antara hikmah berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal:-

1. Pelengkap dari puasa di bulan Ramadan

Puasa sunat 6 hari di bulan Syawal selepas Ramadan adalah pelengkap pahala dari puasa setahun penuh. Penyempurna dari kekurangan, membawa maksud, walaupun hukumnya sunat, pada hari Kiamat nanti perbuatan2 fardhu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan sunnah ini.

Rasulullah pernah bersabda dalam hadis Qudsi yang bermaksud,

“Dan senantiasa hamba Ku mendekatkan diri kepada Ku dengan amalan2 sunnah sehingga Aku mencintainya.” -HR Bukhari

2. Sistem pencernaan yang baik

Selama 1 bulan sistem pencernaan kita berehat pada waktu siang. Kedatangan bulan Syawal boleh mendatangkan kejutan bagi sistem pencernaan kita, tambahan apabila disajikan dengan pelbagai juadah di dalam pelbagai majlis yang biasa masyarakat kita lakukan di bulan Syawal ini. Maka, puasa 6 ini memberi peluang kepada sistem pencernaan kita yang telah direhatkan tadi untuk bertugas secara beransur-ansur.

3. Amalan Ramadan tidak terputus

Antara manfaat lain berpuasa 6 di bulan Syawal adalah amalan yang dilakukan oleh seseorang itu di dalam bulan Ramadhan, untuk mendekatkan diri-Nya dengan Allah, tidak akan terputus setelah berlalunya bulan Ramadhan yang mulia ini, selama seseorang itu masih hidup. Ini juga mengajar kita untuk beribadat secara istiqamah dan berpanjangan. Menyusuri daripada kata-kata golongan cerdik pandai,  “Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.”

4. Tanda syukur rahmat di bulan Ramadan

Bepuasa di bulan Ramadan pastinya akan mendatangkan maghrifah atas dosa-dosa masa lalu. Orang yang berpuasa di bulan Ramadan akan menerima ‘ganjaran’ di bulan Syawal. Maka berpuasa di bulan Syawal adalah seperti tanda kita bersyukur dengan ganjaran yang diterima. Ia juga sebagai tanda syukur atas segala nikmat, pertolongan dan pengampunan yang telah diberikan olehNya dalam bulan Ramadan. Dan atas rasa cintanya terhadap ibadah puasa di bulan Ramadan, ia tidak mengundang kita daripada merasa bosan, berat atau jenuh ketika berpuasa, dan meneruskannya dengan berpuasa lagi selama 6 hari di bulan Syawal.

 

Haaa apa lagi tunggu? JOm kita segerakan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ni. Akan tetapi, bagi mereka yang mempunyai hutang berpuasa di bulan Ramadan, jangan pula lupa untuk menyudahkannya dahulu sebelum memulakan berpuasa 6 ini. Ini kerana barangsiapa yang berpuasa Syawal terlebih dahulu dan masih ada tanggungan puasa Ramadan, maka puasanya itu hanya dianggap puasa sunnah muthlaq (puasa sunnah biasa) dan tidak mendapatkan ganjaran puasa di bulan Syawal.

Selamat berpuasa sunat 6 hari Syawal semua! 🙂

 

 

 

Kredit kepada: Hafizamri.com

SHARE OR SAVE THIS POST FOR LATER USAGE